Friday, 4 May 2012

Bab 2 - Oppa & Noona

Aku melangkah lesu ke arah pejabat pengajar yang terletak 2 blok dari bangunan kelasku. Akma telah ku arahkan supaya menunggu aku di kafe kolej. Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi. Aku tiba di depan pintu pejabat yang menempatkan semua pengajar di universitiku. Aku melaporkan diri ku kepada kerani yang ditugaskan untuk melaporkan tetamu kepada mereka yang berkenaan. 

" Hai Kak Nora. Sibuk ke?" Aku menyapa kerani itu yang lebih mesra dipanggil Kak Nora. 

" Ha, dik. Kau kenapa lagi ni? Nak kena jumpa pengajar yang mana satu? Terjah Kak Nora tanpa perlu menyoal aku lanjut. Mungkin disebabkan dalam kelas aku ni, hanya aku yang selalu bermasalah. Tidur dalam kelas, lewat hantar tugasan dan kesalahan yang acap kali ku lakukan adalah datang lewat. Aku hanya ketawa mendengar pertanyaan Kak Nora terhadapku. 

" Nak Jumpa Puan Malika lah kak." Aku menjawab manja. Kak Nora mencubit pipiku sambil menekan interkom untuk memberitahu Puan Malika. 

Selepas diarahkan Kak Nora untuk masuk ke pejabat menemui Puan Malika, aku berjalan perlahan ke arah mejanya. Dari jauh, Puan Malika sedang merenungku tajam. Aku menundukkan kepala. Aku berdiri di hadapannya sambil dia mengetuk-ngetuk mejanya dengan sebatang pen yang dipegangnya. Aku tidak berani membalas pandangannya. Dalam 5 minit dia hanya diam merenungku dan aku mula rasa tidak selesa. Aku tidak betah untuk berdiri lama lagi di hadapannya. Setelah agak lama, aku tekad untuk mula bersuara.

" Hm, Puan Malika. Saya minta maaf atas kesalahan saya pagi tadi. Saya tak sengaja tidur dalam kelas puan." Aku bersuara perlahan sambil kakiku menguis-nguis lantai yang aku pijak.

" Ada pun kamu suara. Ingat tak tahu nak minta maaf tadi. Kamu ni dah sem 6 Mia. Tak habis lagi dengan sikap kamu yang sambil lewa tu. Nasib baik lah kamu tak pernah gagal dalam mana-mana ujian yang kamu ambil. Sebab tu kadang-kadang saya malas nak cakap banyak dengan kamu. Cuba lah ubah sikap kamu tu untuk 4 bulan terakhir ni. Cuba jadi macam ketua kamu, Fahim tu." Leter Puan Malika panjang lebar.

Aku hanya menganggukkan kepala menandakan aku faham. Aku memohon maaf sekali lagi sebelum aku berlalu pergi. Ketika aku berpaling, aku terlanggar seseorang. Semua kertas-kertas yang dipegangnya bertaburan jatuh ke lantai. Aku terpaku di tempat aku berdiri. Dia pula terus tunduk ke lantai untuk mengutip semua kertas yang bertaburan. Aku direnungnya tajam. Setelah tersedar, aku turut tunduk untuk membantu. Malangnya, semua kertas sudah dipungut. Dia menyerahkan semua kertas itu kepada Puan Malika dan berlalu pergi.

" Fahim!" Jeritku sambil berlari ke arahnya. Namun dia langsung tidak berhenti. Aku bergerak dengan lebih cepat supaya dapat mengejarnya. Akhirnya, aku berhenti dihadapannya lalu menghentikan langkahnya. Hampir sahaja dia melanggar tubuhku yang jauh lebih rendah darinya.

" Awak, sorry. Saya tak sengaja langgar awak tadi dan sorry sebab kertas tadi tu. Saya bukan tak nak tolong. Tapi.. " Belum sempat aku menghabiskan bicaraku, dia memotong kata-kataku.

" Kalau semua boleh selesai dengan sorry awak tu, tak payah lah kita ada polis dan undang-undang kan?" Selepas berkata-kata, Fahim pergi meninggalkan aku. Aku menghentak-hentakkan kaki sebagai tanda aku marah dengan sikapnya.

" Hee.. geram betul lah aku dengan mamat ni. Aku langgar je, apa pulak yang sebut-sebut pasal polis bagai!" Aku menjerit geram. Aku melangkah ke arah kafe di mana Akma sedang menungguku.

Sampai di kafe, aku melihat sekeliling untuk mencari Akma. Tiba-tiba bahuku dicuit dari arah belakang. Akma menyerahkan beg aku yang dipegangnya sedari tadi. Kemudian, kami mencari tempat duduk supaya lebih senang untuk kami berbual. Setelah keadaan lebih selesa, Akma terus memegang tanganku sebagai tanda dia mahu tahu apa yang telah berlaku tadi. Aku sengaja membuatkan dia tertanya-tanya. Aku mengangkat kening 'double-jerk' ke arahnya.

" Kau tak payah mengada lah Mia. Cepat bagitahu aku apa puan cakap!" Aku ketawa mengejek kepada Akma justeru menambahkan lagi rasa bengangnya terhadapku.

" Alah, kau macam tak biasa pula. Kan biasa je aku kena panggil dengan dia. So, kena dengar bebelan dia tu lah." Aku mencebirkan bibirku dan menggosok-gosok perutku sebagai tanda aku lapar.

" Eh, kelas kita lepas ni pukul 2.30 kan? jom makan dulu. Aku lapar." Aku menarik tangan Akma ke arah gerai yang menjual nasi campur.

Bila sebut pasal makan, memang aku lah yang paling teruja. Aku bersyukur walaupun aku ini dikategorikan dalam golongan orang yang kuat makan, badan aku tetap kurus. Mungkin disebabkan kadar metabolisma aku yang tinggi atau pun faktor genetik dari mama dan papa aku. Mataku melilau memandang hidangan yang sudah tersedia di depan mata. Pantas sahaja kaki aku melangkah ke arah hidangan udang masak lemak yang sememangnya mencuri perhatian ku sejak dari tadi.

Selepas mengambil beberapa lauk untuk dijadikan santapanku, kakiku melangkah untuk ke kaunter pembayaran. Tiba-tiba dari arah belakang, aku ditolak. Pinggan yang aku pegang jatuh. Aku hanya mampu memandang nasi dan lauk yang bertaburan di lantai. Semua mata yang berada di kafe itu, tertumpu ke arahku. Akma entah ke mana. Aku menjadi kalut dan aku menjadi lebih kalut apabila aku sedari orang yang berada di hadapanku ialah Fahim! Dia merenungku tajam. Baju yang dipakainya sudah berubah warna menjadi kuning. Aku menjadi kaku di hadapannya.

" Ya ALLAH Fahim. Saya minta maaf. Tadi.. " Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, dia membuka baju kemejanya dan dicampakkan ke lantai. Dengan hanya berkemeja-T biru, dia berlalu pergi dengan meninggalkan makanannya di hadapan kaunter. Aku berasa serba salah. Dengan linangan air mata, aku melangkah ke arah kaunter untuk membayar harga makanan yang jatuh itu.

" Eh, tak payah lah nak. Kamu bukan makan pun." Aku tersenyum kepada makcik itu dan aku menghulurkan not kertas bernilai RM5 ke arahnya. Walaupun makcik itu menolak, aku berkeras supaya dia menerimanya lalu aku memohon maaf. Sebelum berlalu, sempat aku mengambil baju kemeja Fahim yang dicampaknya tadi.

Aku mencari kelibat Akma tetapi tidak kelihatan. Aku tak tahu kenapa aku perlu menangis sedangkan aku tahu itu bukan salahku. Padahal bukan aku sengaja untuk melanggarnya dan aku tahu siapa yang menolakku.  Aku pergi ke arah meja yang menempatkan beg aku dan Akma. Tidak lama kemudian, Akma datang. Rupa-rupanya dia pergi ke tandas. Sebaik sahaja dia duduk, dia terus menerpa ke arahku.

" Kau tahu Mia, aku nampak si Fahim tu tadi. Tapi kenapa dia pakai t-shirt je eh? Handsome betul dia pakai macam tu je." Cerita Akma bersungguh-sungguh. Aku menundukkan kepala ke meja.

" Kau apahal Mia?" Sebaik sahaja Akma bertanyakan soalan kepada ku, aku terus menceritakan kejadian yang menimpa terhadapku. Akma tercengang.

" Kalau ya pun, tak payah lah kau nak buat mulut macam tu. Dah lah aku takda selera nak makan lagi. Kau pergilah makan dulu. Aku nak solat. Nanti jumpa kau kat kelas." Aku menuju ke surau memandangkan Akma sedang 'bercuti'.

Aku yang terakhir masuk ke kelas. Aku sengaja melewatkan kehadiranku. Aku gementar untuk bersemuka dengan Fahim. Kalau difikirkan balik, kenapa pula aku yang nak kena takut jumpa dia. Sepatutnya perempuan yang langgar aku tu lah. Bukannya aku tak tahu siapa yang langgar aku dan aku tahu dia lakukan dengan sengaja.

Aku melangkah lambat-lambat ke arah meja Fahim untuk menandatangani kehadiran kelas sesi kedua ini. Aku sempat menjeling ke arah bajunya yang sudah bertukar warna. Mungkin dia sempat menukar baju sebelum masuk ke kelas tadi. Sewaktu aku ingin melangkah ke mejaku, aku ditegur dengan satu suara yang cukup tinggi. Aku menoleh kepada empunya suara. Tasha!

" Woi, tadi aku dengar kau langgar Fahim kat kafe. Mata kau letak kat lutut ke apa?" aku hanya diam tidak membalas. Aku tidak suka bergaduh atas sebab remeh-temeh. Aku hanya menjeling ke arah Tasha yang selalu berpakaian menjolok mata itu. Dia juga yang selalu beria- ia mendekatkan dirinya kepada Fahim.

" Tasha, kalau awak nak bising-bising pergi tempat lain. Saya tak suka orang bising kat tempat saya!" Fahim bersuara. Tasha hanya mencebirkan bibirnya ke arah Fahim.

Aku memandang Fahim sebagai tanda terima kasih kerana dia membela ku di hadapan Tasha. Aku sungguh terharu. Namun sebaik sahaja kaki aku melangkah, dia bersuara memandang aku dan beralih memandang Tasha yang pergi meninggalkan kami.

" Jangan fikir saya sengaja back-up awak depan Tasha. Cuma, saya tak suka orang bising-bising depan saya." Aku terdiam dan memandang Fahim. Padahal orang lain yang buat bising. Aku pula yang dimarahnya. Apabila dia memandangku, wajahnya seolah-olah terperanjat. Aku malu sendiri dan bergegas ke tempatku untuk mendapatkan Akma.

" Eh Akma. Ada apa kat muka aku? Apasal si Fahim tengok aku semacam je." Aku memandang Akma meminta penjelasan. Dari ekor mataku, aku perasan yang Fahim masih mencuri pandang ke arahku sambil dia berbual dengan rakan sebelahnya.

" Woah! Mata kau bengkak apahal? Takkan kau menangis sebab mamat Korea tu?" Aku terkejut. Aku mengambil cermin yang berada di dalam pegangan Akma. Sememangnya cermin dan Akma tidak boleh dipisahkan. Aku terkejut melihat mataku yang merah dan bengkak. Sekali pandang, orang akan tahu aku baru lepas menangis.

" Alahai, dah sah-sah dia fikir aku menangis sebab dia." Aku mengeluh di dalam hati sambil memandang Fahim yang sedang tekun melakukan sesuatu di mejanya.


No comments:

Post a Comment