Thursday, 17 May 2012

Bab 3 - Oppa & Noona

Tepat jam 4 petang, sesi kelas aku telah tamat. Aku ingin segera melangkah meninggalkan kelas supaya tidak bertembung dengan Fahim. Aku menarik tangan Akma namun Akma tidak berganjak dari tempat duduknya malah dia mengarahkan aku supaya duduk. Mata dan kepalaku meliar ke sekeliling kelas kerana aku tidak mahu bertentangan mata dengan Fahim memandangkan mata aku yang sedang bengkak ini. Fahim ku lihat sedang leka mengemas meja di tempat duduknya kemudian begnya disilangkan di bahu menandakan dia akan pulang sebentar lagi. Tiba-tiba, dia menoleh ke arah tempat dudukku di bahagian belakang. Aku tunduk dan aku dengan sedaya upaya cuba menarik sekali lagi tangan Akma. Akma mengalah akhirnya lalu menuruti langkahku.

" Kau kenapa Mia? kelam kabut aku tengok kau. Macam lah kau tak pernah tengok si Fahim tu." Leter Akma kepadaku sebagai protes apabila aku menarik tangannya.

" Alah, kau tengok lah mata aku ni. bengkak! malu aku bila ingat kes kat kafe tadi!" Aku menjawab sambil menepuk-nepuk pipiku. 

Aku dan Akma menuju ke arah kawasan parkir kereta yang dikhaskan untuk pelajar. Aku menuju ke arah kereta Myvi merah jambu kesayanganku manakala Akma menuju ke arah motor scooter kesayangannya yang turut bewarna merah jambu. Sememangnya warna merah jambu menjadi wana kegemaran kami berdua. Malah rakan sekelas kami turut memberi gelaran 'Pink Panther' kepada kami kerana segala yang berkaitan kami kebanyakannya bewarna merah jambu. Aku menyanyi kecil ketika menuju ke arah keretaku yang tidak jauh dari Akma. Aku berpaling ke belakang untuk melambai Akma. Sebaik sahaja aku berpaling ke hadapan, aku terlanggar seseorang.

" Fahim!" Aku menjerit. Aku terpaku di tempat aku berdiri. Fahim memandangku tajam.

Aku memohon maaf kepadanya berkali-kali sambil membongkokkan badanku di hadapannya. Gayaku tak ubah seperti orang Jepun yang membongkokkan badan ketika mereka bertemu sebagai tanda hormat. Bezanya, aku melakukan berulang-ulang kali sambil merapatkan kedua tapak tanganku dan aku dekatkan ke mulutku. Perkataan maaf berulang kali ku sebut. Fahim ku lihat menggelengkan kepalanya berulang kali. 

" Awak ni dalam sehari berapa kali awak nak langgar saya sebenarnya? Best sangat ke dapat langgar saya? Fahim berkata sinis namun aku hanya mampu membisu di hadapannya. 

Fahim melangkah meninggalkan aku. Dia mendapatkan kereta Honda CRZ bewarna merah kepunyaannya. Aku mengekori langkahnya perlahan namun tiba-tiba dia berhenti dan berpaling melihatku. Sekali lagi kami berlanggar. Aku menggigit bibirku kerana aku tidak tahu alasan apa yang patut ku beri. Termasuk ini, sudah kali keempat aku terlanggarnya. Tapi, bukan aku sengaja. Tak sengaja! Itupun dia tak faham.

" Yang awak ikut saya kenapa? kereta awak mana?" Soal Fahim. Walaupun kedengaran lembut tetapi tetap tegas di pendengaranku. Aku melihat sekeliling dan aku sedari kereta aku hanya diparkir sebelah keretanya sahaja. 

" Aduh, mesti dia ingat aku sengaja nak letak kat situ." Aku bermonolog di dalam hati. Soalan Fahim berkaitan keretaku tidak aku hiraukan. Aku menekan alat kawalan kereta yang kupegang dan aku berlalu meninggalkan Fahim. Sebaik sahaja aku masuk ke kereta, Fahim juga masuk ke dalam keretanya yang berada di sebelahku. Dari ekor mataku, aku merasakan Fahim melihatku. Sementara menanti enjin kereta ku panas, aku menghidupkan penghawa dingin kemudian aku memilih CD kegemaranku untuk menjadi santapan halwa telingaku di dalam kereta. Aku megundurkan kereta lalu meninggalkan kawasan parkir tersebut. Dari cermin pandang belakang, aku melihat Fahim juga turut beredar.

Aku tiba di rumah 30 minit kemudian. Rumahku dengan tempat belajarku tidak berapa jauh. Oleh sebab itu mama dan papa mengizinkan aku untuk memandu sendiri ke tempat belajar. Itupun selepas puas dipujuk. Akhirnya ketika aku di semester kedua, papa menghadiahkan kereta kepadaku dengan syarat keputusan peperiksaan CGPA ku mestilah selalu 3.5  ke atas. Alhamdullilah sehingga semester ke enam aku masih konsisten dengan keputusanku walaupun kadang-kadang sikapku yang sambil lewa ini selalu menjadi masalah ketika proses pembelajaranku di dalam kelas.

Aku memberi salam ketika aku melangkah masuk ke dalam rumah. Aku lihat mama sedang membaca majalah di meja kopinya yang menghadap taman serta kolam renang di bahagian tepi rumahku. Aku berjalan terjengket-jengket di belakang mama. Niatku untuk membuat mama terperanjat. Belum sempat aku memeluk mama, mama bersuara.

" Mia Humaira, mama tahu kamu kat belakang mama!" 

" Alah, mama ni. Baru nak terkejutkan mama. Macamana mama boleh tahu pulak?" Aku berjalan menuju ke hadapan mama. Aku mencium pipi mama lalu mengambil tempat di sebelah mama. Mama membalas dengan mencium dahiku sambil membelai kepalaku. Aku tersenyum memandang mama dan melentokkan kepalaku di bahu mama.

" Pagi tadi kamu bangun lewat ye Humaira?" Di rumah, mama dan papa lebih gemar menggelarkan aku sebagai Humaira yang bermaksud kemerah-merahan. Mungkin disebabkan namaku itu, wajahku mudah menjadi merah dalam situasi tertentu. Aku mengangguk sebagai jawapan kepada soalan mama.

" Mama dan Mak Beha kejut kamu macam nak tercabut anak tekak. Maira buat apa semalam sampai tak sedar apa?" Mama memandangku. Dari mata mama aku tahu mama mahukan jawapan segera kerana setiap kali kesalahan yang aku lakukan mama akan bertanya dengan penuh toleransi. Berbanding papa, mama lebih tegas.

" Maira tengok cerita Korea ma. Maaf ma. Maira janji tak buat lagi." Aku berkata jujur sambil membalas pandangan mama penuh simpati.

" Next time kalau Maira buat lagi, mama akan tarik segala kemudahan dalam bilik kamu. TV dan internet mama akan tarik. Faham Maira?" Aku mengangguk laju kerana aku tahu apa yang mama cakap, dia akan buat.

Aku masuk ke dalam bilik. Aku menghenyakkan badanku keatas katil. Beg kuleretkan di lantai. Selendang yang dipakai, aku campakkan ke dalam bakul laundry. Sebaik sahaja aku mencampakkan selendangku, aku teringatkan baju Fahim yang aku ambil siang tadi. Aku masuk ke dalam bilik air dan mengambil baldi lalu kuisi air separuh penuh didalamnya. Aku letak sedikit sabun basuh dan cecair pelembut pakaian. Aku rendam baju Fahim di dalamnya. Entah apa mimpi aku nak basuh baju mamat tu. Seumur hidup aku, tak pernah-pernah aku membasuh baju sendiri malah semuanya diuruskan oleh Mak Beha. Selepas baju kemeja Fahim ku basuh, aku ampaikan di dalam bilik air sahaja. Mustahil untuk aku menyidai baju tersebut di ampaian luar. Lagi satu hal aku nak menjawab dengan mama dan papa nanti.

Aku membersihkan diri lalu menunaikan solat Asar yang tertangguh. Seusai solat, aku pergi ke bilik mama untuk berbual sementelah tiada kerja yang patut ku buat. Aku lebih gemar mengulangkaji pelajaranku selepas aku menunaikan solat Isyak nanti. Lagipun bukan selalu dapat bersama mama kerana kadang-kadang mama sibuk di butiknya terutamanya waktu hujung minggu. Namun mama dan papa tidak pernah mengabaikan aku. Oleh sebab itu, aku tidak terasa kalau mereka kadang-kadang sibuk menguruskan perniagaan masing-masing kerana mereka tidak pernah lupa untuk meluangkan masa bersamaku.

Friday, 4 May 2012

Bab 2 - Oppa & Noona

Aku melangkah lesu ke arah pejabat pengajar yang terletak 2 blok dari bangunan kelasku. Akma telah ku arahkan supaya menunggu aku di kafe kolej. Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi. Aku tiba di depan pintu pejabat yang menempatkan semua pengajar di universitiku. Aku melaporkan diri ku kepada kerani yang ditugaskan untuk melaporkan tetamu kepada mereka yang berkenaan. 

" Hai Kak Nora. Sibuk ke?" Aku menyapa kerani itu yang lebih mesra dipanggil Kak Nora. 

" Ha, dik. Kau kenapa lagi ni? Nak kena jumpa pengajar yang mana satu? Terjah Kak Nora tanpa perlu menyoal aku lanjut. Mungkin disebabkan dalam kelas aku ni, hanya aku yang selalu bermasalah. Tidur dalam kelas, lewat hantar tugasan dan kesalahan yang acap kali ku lakukan adalah datang lewat. Aku hanya ketawa mendengar pertanyaan Kak Nora terhadapku. 

" Nak Jumpa Puan Malika lah kak." Aku menjawab manja. Kak Nora mencubit pipiku sambil menekan interkom untuk memberitahu Puan Malika. 

Selepas diarahkan Kak Nora untuk masuk ke pejabat menemui Puan Malika, aku berjalan perlahan ke arah mejanya. Dari jauh, Puan Malika sedang merenungku tajam. Aku menundukkan kepala. Aku berdiri di hadapannya sambil dia mengetuk-ngetuk mejanya dengan sebatang pen yang dipegangnya. Aku tidak berani membalas pandangannya. Dalam 5 minit dia hanya diam merenungku dan aku mula rasa tidak selesa. Aku tidak betah untuk berdiri lama lagi di hadapannya. Setelah agak lama, aku tekad untuk mula bersuara.

" Hm, Puan Malika. Saya minta maaf atas kesalahan saya pagi tadi. Saya tak sengaja tidur dalam kelas puan." Aku bersuara perlahan sambil kakiku menguis-nguis lantai yang aku pijak.

" Ada pun kamu suara. Ingat tak tahu nak minta maaf tadi. Kamu ni dah sem 6 Mia. Tak habis lagi dengan sikap kamu yang sambil lewa tu. Nasib baik lah kamu tak pernah gagal dalam mana-mana ujian yang kamu ambil. Sebab tu kadang-kadang saya malas nak cakap banyak dengan kamu. Cuba lah ubah sikap kamu tu untuk 4 bulan terakhir ni. Cuba jadi macam ketua kamu, Fahim tu." Leter Puan Malika panjang lebar.

Aku hanya menganggukkan kepala menandakan aku faham. Aku memohon maaf sekali lagi sebelum aku berlalu pergi. Ketika aku berpaling, aku terlanggar seseorang. Semua kertas-kertas yang dipegangnya bertaburan jatuh ke lantai. Aku terpaku di tempat aku berdiri. Dia pula terus tunduk ke lantai untuk mengutip semua kertas yang bertaburan. Aku direnungnya tajam. Setelah tersedar, aku turut tunduk untuk membantu. Malangnya, semua kertas sudah dipungut. Dia menyerahkan semua kertas itu kepada Puan Malika dan berlalu pergi.

" Fahim!" Jeritku sambil berlari ke arahnya. Namun dia langsung tidak berhenti. Aku bergerak dengan lebih cepat supaya dapat mengejarnya. Akhirnya, aku berhenti dihadapannya lalu menghentikan langkahnya. Hampir sahaja dia melanggar tubuhku yang jauh lebih rendah darinya.

" Awak, sorry. Saya tak sengaja langgar awak tadi dan sorry sebab kertas tadi tu. Saya bukan tak nak tolong. Tapi.. " Belum sempat aku menghabiskan bicaraku, dia memotong kata-kataku.

" Kalau semua boleh selesai dengan sorry awak tu, tak payah lah kita ada polis dan undang-undang kan?" Selepas berkata-kata, Fahim pergi meninggalkan aku. Aku menghentak-hentakkan kaki sebagai tanda aku marah dengan sikapnya.

" Hee.. geram betul lah aku dengan mamat ni. Aku langgar je, apa pulak yang sebut-sebut pasal polis bagai!" Aku menjerit geram. Aku melangkah ke arah kafe di mana Akma sedang menungguku.

Sampai di kafe, aku melihat sekeliling untuk mencari Akma. Tiba-tiba bahuku dicuit dari arah belakang. Akma menyerahkan beg aku yang dipegangnya sedari tadi. Kemudian, kami mencari tempat duduk supaya lebih senang untuk kami berbual. Setelah keadaan lebih selesa, Akma terus memegang tanganku sebagai tanda dia mahu tahu apa yang telah berlaku tadi. Aku sengaja membuatkan dia tertanya-tanya. Aku mengangkat kening 'double-jerk' ke arahnya.

" Kau tak payah mengada lah Mia. Cepat bagitahu aku apa puan cakap!" Aku ketawa mengejek kepada Akma justeru menambahkan lagi rasa bengangnya terhadapku.

" Alah, kau macam tak biasa pula. Kan biasa je aku kena panggil dengan dia. So, kena dengar bebelan dia tu lah." Aku mencebirkan bibirku dan menggosok-gosok perutku sebagai tanda aku lapar.

" Eh, kelas kita lepas ni pukul 2.30 kan? jom makan dulu. Aku lapar." Aku menarik tangan Akma ke arah gerai yang menjual nasi campur.

Bila sebut pasal makan, memang aku lah yang paling teruja. Aku bersyukur walaupun aku ini dikategorikan dalam golongan orang yang kuat makan, badan aku tetap kurus. Mungkin disebabkan kadar metabolisma aku yang tinggi atau pun faktor genetik dari mama dan papa aku. Mataku melilau memandang hidangan yang sudah tersedia di depan mata. Pantas sahaja kaki aku melangkah ke arah hidangan udang masak lemak yang sememangnya mencuri perhatian ku sejak dari tadi.

Selepas mengambil beberapa lauk untuk dijadikan santapanku, kakiku melangkah untuk ke kaunter pembayaran. Tiba-tiba dari arah belakang, aku ditolak. Pinggan yang aku pegang jatuh. Aku hanya mampu memandang nasi dan lauk yang bertaburan di lantai. Semua mata yang berada di kafe itu, tertumpu ke arahku. Akma entah ke mana. Aku menjadi kalut dan aku menjadi lebih kalut apabila aku sedari orang yang berada di hadapanku ialah Fahim! Dia merenungku tajam. Baju yang dipakainya sudah berubah warna menjadi kuning. Aku menjadi kaku di hadapannya.

" Ya ALLAH Fahim. Saya minta maaf. Tadi.. " Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, dia membuka baju kemejanya dan dicampakkan ke lantai. Dengan hanya berkemeja-T biru, dia berlalu pergi dengan meninggalkan makanannya di hadapan kaunter. Aku berasa serba salah. Dengan linangan air mata, aku melangkah ke arah kaunter untuk membayar harga makanan yang jatuh itu.

" Eh, tak payah lah nak. Kamu bukan makan pun." Aku tersenyum kepada makcik itu dan aku menghulurkan not kertas bernilai RM5 ke arahnya. Walaupun makcik itu menolak, aku berkeras supaya dia menerimanya lalu aku memohon maaf. Sebelum berlalu, sempat aku mengambil baju kemeja Fahim yang dicampaknya tadi.

Aku mencari kelibat Akma tetapi tidak kelihatan. Aku tak tahu kenapa aku perlu menangis sedangkan aku tahu itu bukan salahku. Padahal bukan aku sengaja untuk melanggarnya dan aku tahu siapa yang menolakku.  Aku pergi ke arah meja yang menempatkan beg aku dan Akma. Tidak lama kemudian, Akma datang. Rupa-rupanya dia pergi ke tandas. Sebaik sahaja dia duduk, dia terus menerpa ke arahku.

" Kau tahu Mia, aku nampak si Fahim tu tadi. Tapi kenapa dia pakai t-shirt je eh? Handsome betul dia pakai macam tu je." Cerita Akma bersungguh-sungguh. Aku menundukkan kepala ke meja.

" Kau apahal Mia?" Sebaik sahaja Akma bertanyakan soalan kepada ku, aku terus menceritakan kejadian yang menimpa terhadapku. Akma tercengang.

" Kalau ya pun, tak payah lah kau nak buat mulut macam tu. Dah lah aku takda selera nak makan lagi. Kau pergilah makan dulu. Aku nak solat. Nanti jumpa kau kat kelas." Aku menuju ke surau memandangkan Akma sedang 'bercuti'.

Aku yang terakhir masuk ke kelas. Aku sengaja melewatkan kehadiranku. Aku gementar untuk bersemuka dengan Fahim. Kalau difikirkan balik, kenapa pula aku yang nak kena takut jumpa dia. Sepatutnya perempuan yang langgar aku tu lah. Bukannya aku tak tahu siapa yang langgar aku dan aku tahu dia lakukan dengan sengaja.

Aku melangkah lambat-lambat ke arah meja Fahim untuk menandatangani kehadiran kelas sesi kedua ini. Aku sempat menjeling ke arah bajunya yang sudah bertukar warna. Mungkin dia sempat menukar baju sebelum masuk ke kelas tadi. Sewaktu aku ingin melangkah ke mejaku, aku ditegur dengan satu suara yang cukup tinggi. Aku menoleh kepada empunya suara. Tasha!

" Woi, tadi aku dengar kau langgar Fahim kat kafe. Mata kau letak kat lutut ke apa?" aku hanya diam tidak membalas. Aku tidak suka bergaduh atas sebab remeh-temeh. Aku hanya menjeling ke arah Tasha yang selalu berpakaian menjolok mata itu. Dia juga yang selalu beria- ia mendekatkan dirinya kepada Fahim.

" Tasha, kalau awak nak bising-bising pergi tempat lain. Saya tak suka orang bising kat tempat saya!" Fahim bersuara. Tasha hanya mencebirkan bibirnya ke arah Fahim.

Aku memandang Fahim sebagai tanda terima kasih kerana dia membela ku di hadapan Tasha. Aku sungguh terharu. Namun sebaik sahaja kaki aku melangkah, dia bersuara memandang aku dan beralih memandang Tasha yang pergi meninggalkan kami.

" Jangan fikir saya sengaja back-up awak depan Tasha. Cuma, saya tak suka orang bising-bising depan saya." Aku terdiam dan memandang Fahim. Padahal orang lain yang buat bising. Aku pula yang dimarahnya. Apabila dia memandangku, wajahnya seolah-olah terperanjat. Aku malu sendiri dan bergegas ke tempatku untuk mendapatkan Akma.

" Eh Akma. Ada apa kat muka aku? Apasal si Fahim tengok aku semacam je." Aku memandang Akma meminta penjelasan. Dari ekor mataku, aku perasan yang Fahim masih mencuri pandang ke arahku sambil dia berbual dengan rakan sebelahnya.

" Woah! Mata kau bengkak apahal? Takkan kau menangis sebab mamat Korea tu?" Aku terkejut. Aku mengambil cermin yang berada di dalam pegangan Akma. Sememangnya cermin dan Akma tidak boleh dipisahkan. Aku terkejut melihat mataku yang merah dan bengkak. Sekali pandang, orang akan tahu aku baru lepas menangis.

" Alahai, dah sah-sah dia fikir aku menangis sebab dia." Aku mengeluh di dalam hati sambil memandang Fahim yang sedang tekun melakukan sesuatu di mejanya.


Wednesday, 18 April 2012

Bab 1 - Oppa & Noona

Aku memanjangkan langkahku untuk segera sampai ke kelas pada waktunya. Sambil itu, tangan aku ligat membetulkan kedudukan tudung yang aku hanya sempat sarungkan ketika aku di dalam kereta. Betul-betul selekeh penampilan aku hari ni. Dengan hanya berseluar slack hitam, kemeja lengan panjang beserta tudung macam tak siap aku bersiap ke kelas. Beg yang berada di bahuku tidak tentu arah disebabkan langkahku yang laju. Ini semua disebabkan gara-gara aku yang tidur lewat hanya semata-mata untuk menonton DVD Korea yang baru kubeli. Padahal, mama sudah berulang kali masuk ke bilikku untuk mengarahkan aku tidur. Disebabkan minat aku yang menggila pada cerita yang baru kubeli itu, arahan mama tidak aku endahkan. Kalau tidak kerana DVD itu, pasti aku tidak tidur lewat semalam. Kalau bukan sebab rakanku Akma menelefon aku pagi tadi, aku pasti aku masih tidur dengan lenanya dan akhirnya aku akan ponteng kelas hari ini.

Akhirnya tepat pukul 8.10 pagi aku tiba di hadapan pintu kelas. Akma yang melihatku terus melambai tangan sambil menunjukkan tempat kami yang berada di belakang kelas. Memang itu tempat kegemaran kami. Jika kami bosan ketika sesi pembelajaran, lebih mudah kami untuk bergosip di belakang berbanding duduk di bahagian hadapan. Aku melepaskan keluhan lega ketika aku menghenyakkan punggungku ke kerusi. Fail yang aku pegang digunakan untuk mengipas aku yang kepanasan. Nasib aku baik, Puan Malika tidak lagi masuk ke kelas. Kalau dia dah masuk, gerenti pagi-pagi ini aku akan dimarahi.

" Kau ni, apa kau buat semalam sampai tak bangun ni? mama kau mana? Mak Beha tak kejut kau ke? nasib baik aku call. Kalau tak, sampai esok kau tak bangun kan? kau ni kan Mia." Akma terus sahaja membebel di telinga aku ketika aku sampai. Aku hanya tersengih memandang Akma. 

" Haish, kawan aku sorang ni macam mak nenek lah mulut dia." Aku merungut di dalam hati mendengar bebelan Akma. Namun, aku tetap tersenyum memandangnya. Aku tahu, dia akan bengang kalau soalannya tak berjawab.

Mujurlah kelas ku mempunyai penghawa dingin. Hangat yang aku rasakan sebab berjalan cepat tadi, semakin berkurangan dan digantikan dengan rasa dingin. Aku yang tak sempat mendandan diri aku ketika keluar rumah tadi, mengambil kesempatan untuk membetulkan keadaan wajahku yang betul-betul nampak sembab disebabkan kurang tidur. Masakan tidak, aku hanya tidur selepas pukul 5.30 pagi tadi. Seusai solat aku terus tertidur dan terjaga ketika jam menunjukkan pukul 7.30 pagi.

" Kau ni tak dengar ke aku cakap Mia?" Akma mula naik berang kerana soalannya tidak diendahkan.

" Kau ni, kalut betul lah Akma. Aku bangun lewat sebab tidur lewat. Aku tidur lewat sebab tengok cerita Korea. Pasal mama dengan Mak Beha tu, aku rasa ada je diorang kejut aku. Tapi, aku mengada tidur kunci pintu. Bila dah kunci pintu, inilah padahnya."

" Kau ni tak habis-habis dengan Korea kau tu. Sedar sikit kita dah tahun 3. Semester akhir. Jangan nak leka je kau tu."

"Ok madam!" Aku mengangkat tangan aku ke paras dahi untuk menunjukkan gaya menabik ke arah Akma. Akma dengan pantas mencubit lengan aku. Tapi, dengan pantas juga dia membetulkan keadaan tudungku yang tidak terurus ini.

Ketika aku mencalitkan lip gloss ke arah bibirku, aku terdengar namaku dipanggil. Tapi aku tidak mengendahkannya kerana aku mahu berehat di kerusiku. Lagipun, kalau bangun tidur lewat macam ni mood aku agak tidak berapa betul. Namun ketika Akma menyikuku, aku memandangnya sambil mengangkat kening sebagai tanda kenapa.

" Tu, Kim Hyun Joong kau panggil."

Ya, itu memang gelaran untuk seorang lelaki yang menyebabkan aku memendam perasaan aku selama 3 tahun. Fahim Haikal. Siapa tak kenal lelaki itu. Lelaki yang terkenal di universiti ku ini sebagai lelaki yang bersahaja, kacak dan sangat aktif di universiti. Dia yang mengambil jurusan yang sama denganku juga berada di kelas yang sama denganku di Fakulti Farmasi ini.

" Agak-agak siapa yang datang lewat tu, datanglah depan sign kedatangan. Takkan tu nak kena cakap."

Aku tahu, kata-kata itu sememangnya ditujukan buat aku. Siapa lagi yang datang lewat lagi selepas aku. Mana ada siapa. Dengan langkah malas, aku menuju ke arah mejanya yang berada di hadapan. Selang 4 baris meja dari tempat dudukku. Dengan segera, aku mengeluarkan pen dan menandatangani kedatanganku dengan pen merah kerana datang lewat. Selepas itu, aku melangkah semula ke tempatku. Ketika aku duduk,  Zura yang duduk dihadapanku menghulurkan sesuatu kepadaku. Pen!

" Alahai, macam susah sangat nak panggil aku ambil pen tu balik. Nak juga dia pas-pas ke belakang. Apa salahnya kau hantar kat aku sendiri!" Kata-kata yang hanya mampu aku luahkan dalam hati. Aku pun tak tahu kenapa dia macam bencikan aku.

Tiba-tiba kelas yang bising tadi bertukar menjadi sunyi. Puan Malika sudah masuk ke kelas. Puan Malika memang terkenal dengan sifat garang dan tegasnya kepada pelajar-pelajar. Disebabkan dia kurang digemari oleh pelajar, subjek yang diajarnya turut mendapat kesan. Semua pelajar farmasi kurang memberi perhatian terhadap subjeknya. Termasuklah aku.

" Amboi, awak semua. Mentang-mentang saya masuk lambat, berpesta eh. Sedar sikit kamu semua dah di tahun akhir. Tiada masa untuk main-main lagi!" Puan Malika memulakan mukadimahnya pada pagi itu.

Nasihat yang diberikan, diterima kami sebagai satu amaran. Semua pelajar tunduk memandang meja masing-masing. Kecuali seorang lelaki yang berada di hadapan itu. Ya, lelaki yang aku cintai dalam diam. Tapi aku hanya pendamkan perasaan ini tanpa diberitahu kepada sesiapa melainkan Akma. Manakan tidak, sikapnya dengan aku semenjak kami di tahun 1 semester pertama sememangnya sangat dingin sehingga sekarang. Dia tidak pernah sesekali menegurku melainkan atas urusan penting seperti urusan kelas atau persatuan. Lebih menghairankan aku, dengan orang lain dia baik je termasuklah rakan baikku Akma.

Aku yang kekurangan tidur, mula tersengguk-sengguk ketika Puan Malika memulakan kelas Mikrobiologi Farmaseutiknya. Akma membantuku dengan memicit-micit lenganku tetapi tidak berjaya untuk menghilangkan kantukku. Akhirnya, aku terlena di sebalik buku yang sengaja aku dirikan di hadapanku. 

Dalam lenaku, aku merasakan seolah-olah kepalaku dibelai-belai dan aku terdengar sayup-sayup namaku dipanggil. Namun, hanya seketika. Tiba-tiba satu hentakan kuat berlaku di mejaku. Aku tersentak lalu terjaga. Aku terdengar bunyi riuh suara orang ramai sedang ketawa. Pandangan aku terasa kabur.

" Cik Mia Humaira!!" Satu jeritan di telingaku cukup membuatku tersedar dari lamunan. Akhirnya baru aku sedar yang aku masih berada di dalam kelas Puan Malika. Puan Malika yang berdiri di sebelahku sedang merenungku tajam. Aku memisat-misat mataku. Sumpah! memang aku sangat mengantuk sehingga tidak tertahan lalu menyebabkan aku tertidur dan menyebabkan aku berada di dalam situasi ini.

Aku mengeluh perlahan. Puan Malika melangkah ke hadapan tanpa berkata apa-apa. Aku tunduk memandang lantai. Ketika aku mahu mengalihkan perhatianku ke papan putih di hadapan, mata aku dan mata Fahim bertamu. Dia menjeling aku menunjukkan darjah kebenciannya terhadapku semakin bertambah. Aduhai, kalau lah aku tak tidur lewat semalam.

Habis satu topik, Puan Malika mengemas peralatan yang digunakan ketika dia mengajar. Contoh-contoh spesimen bakteria yang menjadi topiknya pada hari ini dimasukkan ke dalam satu bekas. Ketika melangkah ke arah pintu, dia menjeling ke arahku.

" Siapa yang rasa dia tidur tadi, jumpa saya lepas ni dekat office."

Aku terdiam. Aku mengeluh lalu menundukkan mukaku ke meja. Akma yang memahami situasi, menggosok belakang badanku perlahan.